Aku
dilahirkan dalam satu keluarga mewah berbangsa Cina. Apabila aku tamat
dalam SPM ku, ayahku begitu berminat untuk menghantarku menyambung
pelajaran ke Jepun di bidang kejuruteraan. Segala perbelanjaan
ditanggung sendiri oleh ayah. Apabila aku tamat nanti, dia mahu aku
membantunya dalam perniagaan. Setelah sampai masanya, dan jawapan
menyatakan aku telah diterima untuk belajar di sana, jamuan secara
besar-besaran telah diadakan di rumahku. Kesemua sanak saudara dan
sahabat handai telah dijemput oleh ayah.
Esoknya,
aku ditemani sendiri oleh ayah berangkat ke Jepun dan diiringi oleh
sanak saudara hingga ke lapangan terbang. Ayah turut sama ke Jepun
dengan tujuan di samping menghantarku, ia juga menguruskan
perniagaannya. Setelah ayah menguruskan tempat tinggalku dan pendaftaran
di Universiti tempat aku belajar, barulah ayah berani meninggalkan aku
bersendirian.
Setelah
dua hari aku belajar di situ, aku telah berkenalan dengan seorang
pemuda Jepun yang sangat kacak rupanya dan beragama Islam. Bukan tidak
ada pelajar Malaysia untuk aku bergaul, malah memang ramai, tapi entah
mengapa pemuda Jepun itulah yang menarik minatku. namun pemuda Jepun itu
sendiri memang suka bergaul dengan pelajar Malaysia terutama yang
berbangsa Melayu dan beragama Islam. Katanya, orang Melayu lemah lembut,
sopan santun dan pandai mengambil hati orang.
Masa
terus berlalu. Setelah agak lama berkenalan dengannya, lama kelamaan
aku begitu berminat terhadap agama yang dianutinya, hingga aku suka
bertanyakan itu dan ini tentang Islam kepadanya. Manakala dia pula
begitu berminat untuk menceritakan kepadaku pelbagai perkara tentang
Islam, termasuklah tentang ke-Esaan Allah. Memang agama yang aku anuti
pada masa itu jauh berbeza, malah aku merasakan agama Islam itu lebih
indah dan lebih cantik. Dan terasa agama yang kuanuti itu banyak salah
dan silapnya.
Akhirnya,
aku tunduk dan mengakui ke Islamanku di hadapannya. Pada hari yang
ditentukan, aku telah mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan
pelajar-pelajar Malaysia. Tetapi pengIslamanku itu tidak aku ceritakan
kepada keluargaku. Aku merahsiakan segala-galanya.
Seperti
biasa apabila tiba akhir tahun, aku pulang ke Malaysia untuk menemui
keluargaku. Kepulanganku tidak menimbulkan apa-apa syak wasangka kepada
mereka. Ketika itu, pakaianku masih belum berubah. Aku masih kelihatan
biasa dan seperti dulu juga. Soal makanan tidak merunsingkanku, kerana
keluargaku tidak suka makan babi. hanya yang merungsingkan, ayah begitu
suka memelihara anjing. Dan dulu pun, aku suka memanjakan anjing yang
dipelihara oleh ayah.
Namun
setelah beberapa hari berlalu, ibu mula mengesyaki sesuatu. Setiap kali
suara azan kedengaran dari masjid, ibuku sering mendapati aku
mengurungkan diri di bilik. Perubahan paling besar, aku tidak suka
kepada anjing peliharaan ayah. Bila ibuku mengajak aku ke rumah ibadah,
aku sering menolak dengan bermacam-macam alasan.
Hinggalah
menjelangnya Tahun Baru Cina, segala-galanya telah terbongkar apabila
ayah memanggilku untuk meraikan Tuhan mereka pada malam tahun Baru Cina
itu. Aku enggan pergi. Bila ayahku bertanya, aku katakan tidak sihat.
Tetapi
tiba-tiba ibu menjawab, "Ah! Dia tu setiap kali diajak ke rumah ibadah,
dia selalu buat alasan. Tak sihatlah, nak studylah, letihlah,
mengantuklah, macam-macam. Dulu takpun macam ni, ini mesti ada sesuatu.
Aku dah lama nak sampaikan pada kau perkara ini, tapi kau selalu sibuk."
Ayah
merenungku dalam-dalam. Kemudian kakinya melangkah masuk ke bilikku dan
menghampiriku dalam keadaan terbaring di katil. "Apa kau sudah membenci
agamamu Swee Eng?" Soal ayah.
Aku terdiam kaku.
"Kau
dah jadi free-thinker ke?" Begitulah yang ayah faham. Ayah tahu, ramai
anak muda yang ke luar negeri tidak mempercayai Tuhan.
Aku hanya menggelengkan kepada."Habis? Kau sudah tukar agamamu? Kau telah Kristian Ke?"
Aku
gelengkan kepala. Melihatkan keadaanku, ayahku lantas menuju ke almari
pakaianku. Ayah jadi terkejut bila melihat dalam almariku tersimpan
sepasang telekung.
"Swee Eng.... Apa benarkah ini!?" Jerit ayah. Aku lihat ibuku juga turut terkejut.
"Swee Eng!!!" Jerit ibuku.
Pada malam itu sisi keluarga berkumpul di bilikku. Termasuk abang dan kakakku.
"Swee
Eng..... usia kau belum dua puluh satu tahun lagi, kau belum boleh
diberi kunci lagi untuk berlaku bebas dalam rumah ini!" Herdik ayah tak
dapat menahan sabar lagi.. Dia mengangkat tangannya untuk menamparku.
Ibuku menangis sambil dipujuk oleh kakakku. Aku terpaku di katilku
sambil merenung bantal dan hanya mampu menitiskan air mata. Dalam hati
ku berdoa, semoga Allah selamatkan diriku. Aku sudah cintakan Islam dan
tidak mahu tinggalkan agama yang suci ini.
"Ayah, sabarlah ayah. Berilah dia tempoh untuk berfikir," pujuk abangku.
"Baik!
Aku beri kau masa untuk berfikir. Bila kau pulang ke Jepun nanti, kau
fikirkanlah perkara ini masak-masak. Bila kau dan bertukar fikiran, kau
kirimlah surat untuk kami di sini. Atau bila ayah ke Jepun nanti, kau
beritahulah ayah. Dan ayah harap, kau jangan tinggalkan untuk sambut
Tahun baru bersama-sama esok.' kata ayah dan terus meninggalkan bilikku.
Kemudian seorang demi seorang meninggalkan bilikku.
Akhir sekali meninggalkan bilikku ialah abangku.
"Kau
fikirlah seadil-adilnya Swee Eng, kerana kau berhak menentukan masa
depanmu sendiri," kata abang. Kata-kata abang itu dapatlah menenangkan
sedikit fikiranku yang kusut apabila mendengar amaran ayah tadi.
Esoknya,
Tahun Baru Cina, aku tetap berdegil tidak mahu keluar dari bilik
meskipun dipujuk oleh ayah dan ibu sendiri. Hingga ayahku
menyumpah-nyumpah dengan kata-kata yang sungguh menyakitkan hati.
"Anak
sial. tak bawa untung. Kita suruh dia belajar di luar negeri untuk
bantu kita, dia buat perangai pula. Nantilah dia, nanti dia tau siapa
aku. Ingat. Kalau kau masih tak kembali kepada agama datuk nenek kau,
aku bukan ayahmu lagi. Hari ini berkurunglah kau dalam bilik ini, anak
sialan! Letih ibumu melahirkanmu. Tak ada hasil..... Bawa celaka......"
Kemudian ayahku berlalu.
Pada
hari itu, aku hanya mengurugkan diriku di bilik. Suara riuh di ruang
tamu rumahku benar-benar membingitkan telingaku. Maklumlah, pada hari
itu ayah mengadakan hari terbuka, kerana ayah adalah seorang yang
berpangkat Datuk.
Dari
awal pagi lagi aku tidak memasukkan apa-apa ke dalam perutku. Aku
terpaksa berpuasa pada kerana semua masakan yang dimasak oleh ibu
benar-benar tidak lagi menyelerakanku. Walaupun keluargaku tidak suka
makan daging babi, tapi aku tahu masakan ibu pasti memasukkan juga
sedikit minyaknya. Ini menyebabkan tekakku menolaknya dari menerima
makanan tersebut.
Bila
hari hampir menjelang Maghrib, aku memohon izin dari ayah untuk pergi
ke rumah sahabatku. Pada mulanya ayah enggan mengizinkan aku ke
mana-mana hari itu. tapi atas pujukan abangku, akhirnya ayah melepaskan
juga aku pergi.
"Daripada
dia lari, baiklah dia pergi dalam pengetahuan kita ayah. Lepaskanlah
derita hatinya, mudah-mudahan, dia dapat berfikir dengan tenang dan
kembali kepada Tuhan kita," pujuk abang.
Aku
terus ke rumah Marlia, sahabat Melayuku untuk berbuka puasa pada hari
itu. Beliau kasihan mendengar ceritaku, dan mempelawa aku untuk tinggal
di rumahnya sepanjang cutiku ini. Tapi aku enggan. Aku memberi alasan.
"Tak apalah dulu Marlia, selagi aku boleh mempertahankan imanku, selagi
itulah aku akan tinggal di rumah. Kerana kalau aku lari dari mereka, ia
lebih menyakitkan hati mereka," jawabku.
Setelah
habis cuti aku kembali ke Jepun. Pemergianku kali ini tidak lagi
diiringi oleh sanak saudara, jauh sekali ayahku. Cuma abangku saja yang
simpati padaku. Dialah yang menghantarkan aku ke lapangan terbang dan
dia jugalah yang memberikan perangsang untukku terus belajar tanpa putus
asa.
Setelah
tiga bulan, ayahku datang sendiri ke Jepun untuk menemuiku. Kalau dulu
soalan yang pertama yang selalu ditanyakan oleh ayah adalah, "Apa khabar
Swee Eng?", tetapi kali ini yang ditanya oleh ayah, "Bagaimana, kau
sudah fikirkan masak-masak masa depanmu?"
"Sudah ayah," jawabku sepatah.
"Kalau begitu, bagaimana pilihanmu? Masihkah engkau membenci agama datuk nenekmu?"
Aku menjawab, "Ayah, saya lebih sukakan Islam. Dan saya lebih kasih dan cintakan Islam daripada segala-galanya, ayah."
"Cih
sial! Betul-betul kau kena sihir. Mana orang yang bertanggungjawab
meng-Islaman kau? Aku mahu jumpa. Kalau boleh aku mahu bunuh dia!" Marah
ayahku.
"Dalam hal ini ayah tak boleh menyalahkan sesiapa, ini semua atas kehendak Swee Eng sendiri ayah," kataku.
"Baiklah,
kalau atas kehendak engkau, kautinggallah di sini. Aku benci kau. Apa
nak jadi dengan kau, jadilah. Kau bukan anakku lagi. Jangan harap duit
untuk kau akan sampai. Aku tak akan mengirimkan walau sesen pun!" Itulah
keputusan ayah. Dan dengan itu ayah terus pergi meninggalkanku.
Tinggallah dan keseorangan dalam kesedihan.
Tika
itu aku merasakan dunia ini terlalu sepi, tiada siapa tempat untuk aku
mengadu. Tiada siapa yang dapat aku minta pertolongan. Apakah
sahabat-sahabatku yang dulunya di waktu aku senang, sudi menolongku? Oh
Tuhanku! Apakah hikmah kejadian ini? Aku benar-benar buntu, tiada tempat
untukku mengadu. Segala-galanya aku serahkan kepada Allah.
Lalu
aku mengadu pada Tuhanku, "Tuhan! Selalunya orang yang mempertahankan
kebenaran itu akan dihina dan disisih. Biasanya dia dalam kemiskinan dan
kesepian kerana dibenci. Tapi Tuhan! Aku yakin dengan kemurahan dan
kekuasaan-Mu. Oleh itu wahai Tuhan, pada-Mu sajalah yang aku harapkan
agar Kau bantulah aku dan tolonglah aku."
Apa
yang tinggal padaku hanyalah wang simpanan dalam buku akaunku. tapi ia
hanya cukup untuk tambang pulang ke Malaysia dan tidak mencukupi untukku
tinggal setahun di sini. Aku serba salah untuk menceritakan perkara ini
kepada rakan-rakanku kerana aku sendiri faham masalah kami
pelajar-pelajar yang tinggal di luar negeri.
Dalam
aku kebuntuan itu, tiba-tiba aku mendapat sepucuk surat dari abangku.
Abang faham kedudukanku, setelah diceritakan oleh ayah sewaktu pulang
dari Jepun. Abang begitu simpati dengan nasibku dan menyuruh aku
meneruskan pelajaranku dan berjanji akan membantuku.
Menurut
abangku, dia juga berminat untuk memeluk Islam, tapi belum masanya
kerana dia mahu anak-anak dan isterinya turut sama memeluk agama Islam.
Namun
begitu, pertolongan abang tidak lama. Ayah akhirnya dapat tahu apa yang
dilakukan oleh abang. Ayah melarang abang dari membantuku.
Rasa-rasanya
di saat itu ingin saja aku berhenti dari belajar dan pulang saja ke
Malaysia. Siapa lagi yang mahu menolongku untuk aku meneruskan
pelajaranku? Aku benar-benar gelisah. Wang yang ada padaku hanya
benar-benar cukup untuk tambang balik ke Malaysia. Tapi di Malaysia pun,
di mana aku mahu pergi? Di mana??? mana ada saudara maraku yang
beragama Islam? Mohon pertolongan pada kawan-kawan? Sudikah mereka
menolongku? Rasa-rasanya di ketika itu ingin aku kembali menukarkan
agamaku ke agama asal.
Tapi
lama kelamaan, keresahan hatiku dapat juga dibaca oleh rakan karibku
iaitu pemuda Jepun itu. Dia mahu aku meneruskan pelajaranku dan mahu
mengambilku sebagai isterinya agar aku mendapat perlindungan dan
bimbingan dalam Islam, kerana keluarganya kesemuanya beragama Islam.
Setelah berfikir panjang, aku setuju menjadi isterinya.
Di
saat itu, barulah aku terasa dunia yang gelap ini kembali cerah dan
bersinar kembali. Setelah aku berkahwin, aku kembali ke Malaysia dengan
membawa suamiku untuk aku perkenalkan kepada keluarga. Ayah tidak dapat
berkata apa-apa lagi kerana aku sudah menjadi milik orang. ibu hanya
meraung melihat perubahan sikapku. manakala abangku hanya berkata
kepadaku, "Semoga kau bahagia."
Ketika itu betapa syukurnya aku kerana Allah telah melepaskan aku dari segala kedukaan dan kebuntuan.
Begitulah
Maha Pengasih dan Penyayangnya Allah swt. Setiap mehnah yang ditimpakan
kepada hamba-hamba-Nya hanyalah untuk menguji sejauh manakah kesabaran
kita dalam menghadapi ujian-ujian yang ditentukan-Nya.
Allah
yang maha Penyayang tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya terus dalam
penderitaan. Setelah hati benar-benar berserah dan memohon pada-nya, Dia
akan berikan bantuan tanpa diduga-duga. Sesungguhnya Allah tidak kejam.
Setiap penderitaan akan sentiasa diselang-seli dengan kegembiraan.
Andainya
hamba itu seorang yang bersyukur bukan saja kegembiraan itu Allah
berikan di dunia ini, malah di Akhirat lebih-lebih lagi. Itulah keadilan
Allah dan bijaksananya Allah. Oh Tuhan! Kaulah Maha Penyayang yang
melepaskan penderitaan ini. Semoga kau akan sentiasa membantu dan
menolongku wahai Tuhan!
[cahayaislami99.blogspot.com]
[cahayaislami99.blogspot.com]